Ads

jom kita kawan

Monday, February 2, 2015

CARA WANITA LALUI USIA EMAS



Terima Kasih Allah... 

Assalamualaikum sahabat...





CARA WANITA LALUI USIA EMAS
credit : Utusan

BERAT badan meningkat, kulit kering, muka sembap, rambut rapuh dan gugur, kerap letih, mengantuk, pergerakan dan tindak balas menjadi perlahan. Simptom-simptom ini sering dianggap sebagai perkara semula jadi dalam proses penuaan, terutama bagi wanita yang memasuki era 40-an.

Boleh dikatakan hampir semua orang turut mengalami gejala sama, tetapi pada tahap berbeza. Namun, hakikatnya ia bukan sebahagian daripada proses semula jadi penuaan kerana ada orang masih mampu bergiat aktif, nampak awet muda, cergas dan tajam fikirannya, walaupun usia melebihi separuh abad.

Menurut doktor Pakar Sakit Puan Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Dr. Suhaimi Isa, terdapat tiga gejala kesihatan yang dialami oleh wanita berusia 40 tahun ke atas. Mereka akan mengalami penuaan, perubatan seperti diabetes, darah tinggi serta kanser dan risiko kanser termasuk kanser payu dara dan rahim.

"Penuaan merupakan masalah kesihatan utama bagi wanita berumur 40-an. Ia sering dikaitkan dengan menopaus. Gejala-gejala ini perlu dititik beratkan kerana jangka hayat bagi seorang wanita boleh mencecah hingga 80 tahun. Ia lebih panjang daripada jangka hayat sebelum ini.

Kajian menunjukkan senario ini disebabkan sosioekonomi penduduk dunia semakin baik. Justeru itu, bilangan warga emas sekarang semakin tinggi. Namun, jika terlalu ramai, ia mungkin menjadi masalah kepada negara kerana kebanyakan golongan ini tidak berfungsi," jelas beliau.

Menyentuh masalah menopaus, ia biasa melanda wanita peringkat umur 50-an. Tambah beliau, jika mereka hidup sehingga 80 tahun, golongan ini ada 25 tahun untuk menempuh hidup ini.

Bagi menempuh tempoh masa ini, pelbagai persediaan perlu dilakukan.

"Antara simptom yang akan merubah wanita 40-an yang mengalami proses penuaan ialah cepat letih, mengah, tidur tidak lena, asyik nak tidur dan mudah sangat nak tidur. Bagi menopaus, wanita akan sentiasa berasa panas, paling ketara dari segi psikiatri iaitu tekanan dan mudah berasa tersisih. Ini berlaku kerana hormon wanita turun dan menyebabkan mood tiada.

Pada usia meningkat ini, bagi yang berkahwin mungkin akan rasa keseorangan kerana anak-anak akan berkahwin dan mempunyai kehidupan sendiri. Ini turut dialami oleh wanita yang kehilangan pasangan atau belum berkahwin," jelasnya.

Selain itu, golongan ini turut berisiko tinggi mengalami osteoporosis. Ketika usia semakin meningkat, tulang-tulang sendi akan mula rasa sakit khususnya tulang belakang.

Beliau menjelaskan, ada rawatan yang mengurangkan sakit sendi tulang tetapi tidak berkesan kerana ia masih mengehadkan pergerakan mereka.

Misalnya, golongan warga emas mungkin boleh menggunakan tongkat untuk berjalan atau duduk ketika mengerjakan solat.

Pada usia ini juga, wanita juga perlu berhati-hati kepada penyakit yang banyak terdapat dalam masyarakat seperti darah tinggi dan diabetes.

"Tidak semua wanita akan menghadapinya tetapi kemungkinan itu ada. Namun bagi wanita, ini bukan penamat kehidupan kerana masih ada rawatan untuk mengatasi masalah ini. Yang penting, masing-masing mengambil inisiatif melakukan rawatan saringan seperti mamogram, pap smear dan ultrabunyi. Ujian saringan ini penting dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun. Misalnya, kanser tidak mengira umur dan pemeriksaan awal perlu dilakukan untuk pencegahan awal," ujarnya.

Dr. Suhaimi memberitahu, pemeriksaan sendiri seperti payu dara perlu dilakukan sebagai inisiatif diri sendiri.

Selain itu, wanita juga perlu melakukan rutin pemeriksaan kesihatan seperti hepatitis B, kolestrol, darah tinggi dan sebagainya.

Pada masa ini, wanita merupakan golongan yang ramai bekerja. Justeru itu, penjagaan kesihatan dari awal amat penting. Namun, terdapat juga wanita yang sering menafikan penyakit mereka menyukarkan pencegahan awal.

"Tidak sukar melakukan pemeriksaan, misalnya saringan osteoporosis boleh dilakukan melalui mesin imbasan tulang. Dengan mengetahui keputusan tahap kekuatan tulang, kita boleh melakukan pencegahan awal," jelasnya.

Dalam membuat persediaan mengawal penyakit, setiap wanita perlu mengawal cara hidup mereka dengan bijak.

Selain menjaga kesihatan dengan pengambilan vitamin serta suplemen, golongan ini perlu mengambil diet yang elok.

Misalnya, bagi wanita yang mengalami menopaus, metabolisma badan akan menjadi rendah. Justeru itu, mereka disaran kurangkan makan, pilih makanan berkualiti, protein tinggi, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain itu, mereka perlu mengawal pengambilan glukosa dan karbohidrat.

"Sebagai gaya hidup yang sihat, setiap orang perlu melakukan senaman. Antara kelebihan senaman ialah mengurangkan tekanan dan risiko obesiti. Ramai wanita tidak tahu masalah kitaran haid dipengaruhi oleh masalah obesiti. Oleh itu, pengawalan berat badan amat perlu. Selain itu, senaman dapat mengimbangkan dan menguatkan otot.

Namun, senaman yang dilakukan perlu mengikut kemampuan peringkat umur. Bagi mereka yang tidak larat, tidak perlu berlari. Hanya banyakkan berjalan seperti waktu pagi sekurang-kurangnya hingga berpeluh," katanya.

Pelbagai penyakit yang boleh dihadapi wanita berusia 40-an;

Menopaus
**************

✔Bermaksud tiada lagi mengalami kedatangan haid

✔Anda tidak boleh lagi mendapat zuriat

✔Haid mungkin berhenti secara tiba-tiba, beransur ansur atau tidak tetap

✔Menopaus berlaku di kalangan wanita yang berumur 45 hingga 55 tahun, purata pada umur 50 tahun.

Adakah rawatan untuk tanda tanda menopaus?

Tingkatkan gaya hidup sihat dapat mengurangkan dengan berkesan gejala-gejala menopaus yang tidak disenangi. Ini termasuk makanan berkhasiat, elakkan merokok, selalu bersenam, berfikir secara positif, melakukan pemeriksaan Pap Smear, melakukan pemeriksaan payu dara dan rawatan hormon gantian ( HRT ).

Kanser payu dara
**********************

✔Dua peratus daripada pesakit ini berumur kurang daripada 30 tahun dan majoriti pesakit kanser dalam lingkungan umur 40-49 tahun apabila mereka mula-mula didiagnosis.

✔Di Malaysia, dianggarkan 27 wanita dari setiap 100,000 penduduk mengalami kanser payu dara berbanding 18 wanita dari setiap 100,000 penduduk mengalami kanser pangkal rahim (penyebab kedua kanser yang sering berlaku di kalangan wanita).

✔Dalam setahun dianggarkan seramai 2,700 - 3,000 kes baru didiagnosis sebagai kanser payu dara.

✔Perlu lakukan pemeriksaan payu dara anda dengan kerap melalui Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP).

✔Ujian yang dijalankan jika disyaki kanser termasuk ujian darah, Fine Needle Aspiration Biopsy (FNAB) Core Needle biopsi, ultra bunyi dan mamogram.

Kanser rahim
*****************

Di Malaysia, senario yang sama berlaku dan terdapat peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Dianggarkan lebih kurang 18 orang wanita dari setiap 100,000 penduduk mengidap kanser ini.

7.9 peratus (2,000 - 3,000 kes setiap tahun) dari semua kes kanser yang dimasukkan ke hospital kerajaan adalah terdiri dari kanser rahim.

10.5 peratus dari kematian wanita yang mengidap kanser di hospital kerajaan adalah disebabkan oleh kanser rahim.

Bagaimana untuk mencegah kanser pangkal rahim?

✔Mencegah lebih baik dari merawat.

✔Amalkan cara hidup yang sihat.

✔Setia pada pasangan anda.

✔Lakukan pap smear setiap tiga tahun.

✔Terdapat vaksin terbaru yang boleh mengawal kanser ini.

Osteoporosis
****************

Merupakan satu keadaan di mana tulang menjadi kurus dan lemah. Ia menyebabkan tulang anda menjadi sangat rapuh.

Individu yang menghidapi osteoporosis mempunyai tulang yang rapuh dan cenderung mengalami masalah patah tulang pinggul, tulang belakang dan pergelangan tangan.

Individu pada semua peringkat umur, tulangnya tidak mencapai ketumpatan yang optima semasa zaman kanak-kanak dan remaja, berisiko mengalami osteoporosis. -Keadaan ini berlaku terutamanya kepada warga emas.

Risiko terhadap osteoporosis boleh dikurangkan dengan:
***********************************************************************
✔Pengambilan makanan yang seimbang: Pastikan anda mengambil cukup kalsium, magnesium dan vitamin D untuk kesihatan tulang.

✔Bersenam secara tetap: Lakukan latihan senaman imbangan berat seperti berjalan dan angkat berat serta jenis senaman yang lain termasuk Tai Chi.

✔Amalkan gaya hidup sihat seperti pengambilan diet yang sihat dan seimbang (Panduan Diet Malaysia), elakkan merokok, mengawal stres dan kurangkan pengambilan minuman beralkohol.

Obesiti
*********

Berat badan anda bertambah apabila anda makan banyak, lebih daripada apa yang boleh dibakar oleh badan anda. Kalori yang lebih ini akan disimpan sebagai lemak.

Berlebihan berat badan dan kegemukan/obesiti di kalangan remaja dikaitkan dengan :

✔Masalah jantung seperti penyakit darah tinggi/hipertensi dan paras kolesterol yang tinggi.

✔Penyakit Kencing Manis/ Diabetes.

✔Kesan psikologikal seperti kemurungan dan kurang keyakinan diri.

✔Masalah pernafasan seperti asma serta masalah tidur.

✔Komplikasi sendi dan tulang seperti osteoarthritis dan kesakitan tulang pinggul.

✔Bertambah gemuk apabila umur meningkat.


moga bermanfaat


No comments:

Post a Comment